“Sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan tidak dipandang oleh lelaki”
 Aku tidak 
ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. 
Apalah gunanya aku menjadi idaman banyak lelaki sedangkan aku hanya 
boleh menjadi milikmu seorang. Aku tidak merasa bangga menjadi rebutan 
lelaki bahkan aku merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku 
ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati.
Aku juga 
tidak mahu menjadi penyebab kejatuhan seorang lelaki yang dikecewakan 
kerana terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat aku berikan. 
Bagaimana akan ku jawab di hadapan Allah kelak andai ditanya?
Adakah itu sumbanganku kepada manusia selama hidup di muka bumi?
Kalau
 aku tidak ingin kamu memandang perempuan lain, aku dululah yang perlu 
menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki dan menghias peribadiku 
kerana itulah yang dituntut oleh Allah. Kalau aku ingin lelaki yang baik
 menjadi suamiku, aku juga perlu menjadi perempuan yang baik. Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?
Tidak ku 
nafikan sebagai remaja, aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan 
disayangi. Namun setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku
 mengingatkan diriku bahwa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia 
semata-mata untuk mu. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal 
menjadi suami ku untuk menerima hati dan perasaan ku yang suci. Bukan hati yang pernah menjadi labuhan lelaki lain.
Diriku 
yang memang lemah ini telah diuji oleh Allah saat seorang lelaki ingin 
berkenalan denganku. Aku dengan tegas menolak, berbagai macam dalil aku 
kemukakan, tetapi dia tetap tidak berputus asa. Aku merasa seolah-olah 
kehidupanku yang tenang ini telah dirampas dariku. Aku bertanya-tanya 
adakah aku berada di tebing kebinasaan?
Aku beristigfar memohon ampunan-Nya. Aku juga berdoa agar Pemilik Segala Rasa Cinta melindungi diriku dari kejahatan.
Kehadirannya
 membuatku banyak memikirkan tentang dirimu. Kau kurasakan seolah-olah 
wujud bersamaku. Di mana saja aku berada, akal sedarku membuat 
perhitungan denganmu. Aku tahu lelaki yang menggodaku itu bukan dirimu. 
Malah aku yakin pada gerak hatiku yang mengatakan lelaki itu bukan teman
 hidupku kelak.
Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku untuk memilih permata sedangkan aku hanyalah sebutir pasir yang wujud di mana-mana.
 Tetapi aku juga punya keinginan seperti wanita solehah yang lain, 
dilamar lelaki yang bakal dinobatkan sebagai ahli syurga, memimpinku ke 
arah tujuan yang satu.
Tidak 
perlu kau memiliki wajah setampan Nabi Yusuf, juga harta seluas 
perbendaharaan Nabi Sulaiman, atau kekuasaan seluas kerajaan Nabi 
Muhammad, yang mampu mendebarkan hati juataan gadis untuk membuat aku 
terpikat.
Andainya engkaulah jodohku yang tertulis di Lauh Mahfuz, Allah pasti akan menanamkan rasa kasih dalam hatiku juga hatimu.
 Itu janji Allah. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan 
yang sah, selagi itu jangan dibazirkan perasaan itu kerana kita masih 
tidak mempunyai hak untuk begitu. Juga jangan melampaui batas yang telah
 Allah tetapkan. Aku takut perbuatan-perbuatan seperti itu akan memberi 
kesan yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak.
Permintaanku
 tidak banyak. Cukuplah engkau menyerahkan seluruh dirimu pada mencari 
redha Illahi. Aku akan merasa amat bernilai andai dapat menjadi tiang 
penyangga ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Illahi sekiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu,
 menghulurkan tanganku untukmu berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di 
medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu. 
Akan ku 
keringkan darah dari luka mu dengan tanganku sendiri. Itu impianku. Aku 
pasti berendam air mata darah, andainya engkau menyerahkan seluruh 
cintamu kepadaku.
Cukuplah 
kamu mencintai Allah dengan sepenuh hati mu kerana dengan mencintai 
Allah, kamu akan mencintaiku kerana Nya. Cinta itu lebih abadi daripada 
cinta biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di
 syurga. 
Seorang gadis yang membiarkan dirinya dikerumuni, didekati, bermesra dengan lelaki yang bukan mahramnya, hilanglah harga dirinya di hadapan Allah. Di hadapan Allah. Di hadapan Allah!

