[Kredit] |
Ya, satu lagi artikel berbaur politik daripada Inche gabbana. Dalam penulisan kali ini, saya akan cuba sebaik-baiknya untuk tidak kelihatan menyokong mana-mana parti, apatah lagi menjatuhkan dan memperlekehkan mana-mana pihak. Cuba.
Kehangatan
PRU13 semakin terasa. Di mana-mana sahaja, bendera-bendera parti yang
bertanding digantung; baik di pokok, tiang lampu, atap rumah dan kubah
masjid. Eh. Poster muka-muka Yang Berhormat dan yang-nak-jadi Yang
Berhormat juga ada di merata, sampai nak muak melihatnya. Jangan
terkejut andai suatu hari nanti anda beli nasi lemak bungkus dan anda
akan dihiburkan dengan wajah Lim Kit Siang. Wahahaha.
Ramai
pemerhati politik bersetuju yang PRU13 bakal menjadi pilihanraya yang
paling sengit dalam sejarah poltik negara. Setelah memenangi semua
pilihanraya sejak ia mula diperkenalkan di negara ini, Parti Perikatan
(Baca: Barisan Nasional) kini buat pertama kalinya akan berhadapan
dengan lawan yang benar-benar akan membuatkan mereka mengalirkan peluh
besar.
Kedua-dua
belah pihak Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat punya kekuatan dan
kelemahan masing-masing. Malah manifesto yang dibentangkan mereka juga
hampir serupa kulit dan isinya. Kajiselidik yang dilakukan oleh Pusat
Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya mendapati, kedua-dua
belah pihak bersaing dengan amat sengit, walaupon Pakatan Rakyat
mendahului kaji selidik itu daripada segi manifesto yang lebih menambat
hati rakyat. Kaji selidik tersebut juga mendapati Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih digemari untuk menjadi Perdana Menteri berbanding dengan Dato' Sri Najib Tun Razak.
Meski
kaji selidik itu tidak boleh dianggap sebagai mewakili keseluruhan
sentimen rakyat Malaysia, sementelah bilangan respondennya yang tidak
begitu ramai (1,407 bakal pengundi), namun suka atau tidak, setuju atau
tidak, ia tetap menggambarkan perubahan citarasa dan kehendak rakyat,
terutamanya kaum Cina dan golongan muda.
Suatu
lagi kajian yang telah dibuat oleh Institut Politik Shcmolitik Inche
gaban (Wakakaka..) pula mendapati, kebanyakan anak muda yang tinggal di
bandar dan pinggiran bandar menyokong aspirasi pihak Pakatan Rakyat.
Manakala golongan tua, terutamanya yang tinggal di kampung-kampung dan
kawasan luar bandar, kebanyakannya masih tegar dan setia menyokong
perjuangan Barisan Nasional.
Di
sebalik kehangatan dan kerancakan PRU13 ini, rupa-rupanya masih ada
segelintir golongan yang tidak mahu ambil tahu, tidak ambil peduli dan
tidak mengambil berat tentang proses demokrasi lima tahun sekali ini.
Moto mereka: Ada aku kisah..??
Pelbagai
alasan yang mereka berikan untuk tidak terlibat atau sekurang-kurangnya
ambil tahu tentang PRU13 ini, Sekiranya dikumpulkan segala tok nenek
hujah dan alasan mereka ini, sudah pasti dapat menandingi ketebalan
manifesto dan janji-janji kedua-dua Barisan Nasional dan Pakaran Rakyat.
Eheh.
"Buat apa nak politik. Politik ala barat.. Haram!"
"Alaaah. Undilah sesapa pon. Yang menang nanti, sama jugak. Kita rakyat marhaen ni, bukan dapat apa-apa keuntungan ponnn.."
"Politik tu kotor! Jijik! Busuk! Errgghh aku tak mahulah terlibat dengan benda-benda macam tu!"
"Sama aje kerajaan dengan pembangkang. Dua-dua pon tak boleh nak percaya. Dah nama pon politik.."
"Politik..? Ha..? Kicap manis buatan Kepulauan Galapagos ke tu..?"
Err..
Garu kepala. Ini hanyalah segelintir alasan dan hujah yang sering
didengari oleh golongan 'Ada Aku Kisah?' ini. Namun sebahagian besar
daripada mereka ini sebenarnya masih duduk di atas pagar; tidak pasti
dan jelas dengan pendirian politik mereka sendiri. Er, tak sakit ke bang, duk atas pagar tu..? Tajam woh! Koff koff.
Di
dalam penulisan kali ini, saya ingin mengajak anda semua berfikir
secara lebih matang dan berwibawa, mengapa kita sebenarnya perlu ambil
peduli dengan PRU13. Mengapa sebagai rakyat Malaysia yang berdaulat dan
layak untuk mengundi, kita wajar menggunakan kuasa yang ada pada tangan
kita ini dengan sebaiknya.
Baiklah. Anda sudah bersedia..?
1) Rakyat adalah raja
Rakyatlah
yang memegang kuasa sebenar dalam sesebuah negara. Mana mungkin,
beberapa kerat pemimpin yang telah dipilih oleh rakyat, boleh pula
berkuasa penuh tak ingat dunia, berbuat suka hati kepada rakyat
jelata..? Sedangkan kita yang memilih mereka ini..?
Arakian
kita wajar menggunakan kuasa yang ada pada rakyat ini dengan sebaiknya.
Pilihlah bakal pemimpin yang jujur, ikhlas dan berintegriti untuk
menjadi hamba kepada kita semua, yang dapat memberikan perkhidmatan yang
terbaik kepada rakyat.
Er soalan! Wujud ke pemimpin sebegitu di zaman ini..?
2) Negara ini bukan hak milik atok sesiapa
Ya,
Malaysia adalah negara kita, tempat tumpahnya darah dan daging kita dan
tempat kita bakal dimamah oleh ulat dan serangga suatu hari nanti.
Gulp. Maka oleh sebab ia milik kita semua dan bukan golongan tertentu
apatah lagi opah mana-mana figur atau individu, kitalah yang sewajarnya
menentukan halatuju negara ini.
Oleh
sebab kita tidak punya banyak pilihan, terikat dengan perlembagaan
negara yang sudah ditetapkan, suka atau tidak, pilihan raya adalah
satu-satunya cara untuk menentukan halatuju negara ini secara lebih adil
dan saksama.
3) Anda mahu perubahan, maka anda perlu ubah!
Jangan
dok pandai bising di kedai mamak atau jadi pahlawan papan kekunci
sahaja. Jika anda benar-benar merasakan anda mahukan perubahan, atau
merasakan betapa selama ini suara anda tidak didengari, maka undi anda
adalah jawapannya. Benar, integiriti dan kewibawaan Suruhanjaya
Pilihanraya Malaysia masih boleh dipersoalkan. Namun, itu bukan alasan
untuk anda tidak pergi mengundi.
Kata
orang tua, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Undi anda yang satu itu,
apabila dikumpulkan dengan mereka yang punya pemikiran yang sama,
pastilah akan menjadi signifikan dan relevan. Setiap undi akan dikira!
4) Tak cakna ummah, maka anda bukan sebahagian daripadanya!
Nabi SAW ada bersabda:
“Barang siapa yang tidak peduli akan nasib saudara muslimnya maka dia bukan daripada golongan mereka.”
[Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]
Pokoknya, sekiranya kita benar-benar merasakan betapa ada banyak kepincangan pada sistem yang sedia ada, masih ramai rakyat di luar sana yang dizalimi sehingga ada yang terpaksa makan siput babi, masih ramai yang dianiaya sehingga yang kaya bertambah kaya dan yang miskin semakin papa, maka inilah masanya untuk anda mengubah segala-galanya.
Islam tidak tertegak di muka bumi ini dengan sendirinya, tahu..?
5) Politik itu kotor lagi najis..?
Ramai yang memberi alasan, sebab utama mengapa mereka tidak mahu terlibat dalam politik adalah kerana sifatnya yang jijik, kotor lagi najis. Silap haribulan, dah boleh dikategorikan sebagai salah satu najis yang wajib disucikan. Wahahahaha.
Masalahnya anda, yang membusukkan dan memburukkan sistem itu bukanlah sesiapa tetapi kita sendiri. Ahli-ahli politk yang tamak, korup dan tidak amanah itulah yang menjadikan politik tampak kotor dan jijik. Maka kitalah yang wajib membersihkannya.
Benar, politik memberi ruang dan platform untuk ramai orang menyalahgunakannya. Tapi hey, ia juga membuka pintu yang sama untuk kita mensucikannya, bukan..? Senyum.
6) Jangan banyak songeh, boleh..?
Ada juga yang mengatakan, haram untuk umat Islam terlibat dalam politik kerana ia berasal dari Barat dan banyak unsur-unsur syubhah di dalamnya. Aik, tengok wayang dan karaoke sampai ke Subuh itu boleh pula ya...?
Batuk.
Anda, memanglah idealnya kita mahu kembali kepada sistem khilafah, di mana pemimpin tertinggi dipilih oleh ahli syura yang tsiqah lagi amanah. Tapi tolong jadi lebih realistik dan berpijak di bumi yang nyata boleh tak..?
Walaupon sistem demokrasi yang ada masih banyak kepincangan dan kebobrokannya, tapi itu sahaja pilihan yang kita ada buat masa ini untuk membawa dan melaksanakan perubahan.
Eh, Syaikh Yusuf al-Qardhawi dan ramai lagi 'alim ulama' muktabar sudah pon mengeluarkan pendapat mereka tentang kewajipan umat Islam terlibat dalam politik (siasah). Bagaimana..?
7) Anda zalim sekiranya tidak mengundi
Bak kata Ustaz Syed Abdul Kadir al-Joofre, buang najis pada tubuh badan pon dah jadi kewajipan. Apatalah lagi dalam memilih pemimpin yang bakal menentukan masa depan negara.
Shrettt. Eh seluar sapa yang koyak tu..?
Sekiranya anda memilih untuk berdiam diri, tidak menggunakan hak anda sebagai pengundi, anda sebenarnya zalim; zalim pada diri sendiri, zalim pada orang lain dan zalim pada negara yang terchenta!
Ini adalah sebahagian daripada jihad kita dalam membawa perubahan. Jangan tertinggal atau sengaja melarikan diri daripada medan jihad ini!
8) Ok anda seriyes loser kalau tak terlibat dengan PRU13
Anda tidak mahu jadi sebahagian daripada sejarahkah..? Saya percaya dan yakin, PRU13 bakal melakar sejarah baharu untuk negara Malaysia yang terchenta. Percayalah, anda tidak mahu terlepas peluang menjadi sebahagian daripadanya.
Sekiranya anda sengaja menyembunyikan diri, tidak ambil tahu, tidak mahu cakna, suatu hari nanti, apabila anak anda memegang buku sejarah Malaysia dan bertanyakan soalan kepada anda, "Papa papa, dulu apa peranan papa dalam PRU13..? Papa pergi mencula tak..?" Apa anda nak jawab..?
Kehkehkeh.
Ok cukuplah lapan dalil kenapa anda perlu terlibat dan ambil cakna dengan PRU13. Amboi dah boleh buat tajuk buku ni. Ahah. Hujah-hujah ini tidak disusun mengikut kepentingan atau prioriti. Mana yang saya terfikir dahulu, itulah yang saya tuliskan. Dan ini hanyalah pendapat peribadi saya yang marhaen ini. Anda berhak untuk tidak bersetuju. Cuma janganlah terpekik terlolong, sambil berlari laju keliling kampung macam orang gila meroyan! Buruk tahu..??
Tidak, anda tidak perlu pon menunjukkan sokongan anda kepada mana-mana parti. Tidak perlu pon menukar gambar profail anda di MukaBuku atau mula menulis status-status atau kicauan berbaur politik. Semua itu tidak perlu, untuk menunjukkan yang anda peduli atau cakna.
Cukuplah sekadar anda ambil tahu dengan perkembangan terbaru. Cukuplah dengan anda sentiasa terhapdet dengan fakta-fakta dan bukannya auta. Dan cukuplah anda jelas dengan pilihan anda, apabila tiba hari mengundi nanti.
Ini kalilah!
-gabbana-
Tak tahulah berguna atau tidak penulisan ini. Harapnya ia bermanfaat, terutamanya anda yang masih di atas pagar!
Oh, jangan lupa solat istikharah sebelum mengundi! Janganlah cari kain sejadah nak buat istikharah, hanya bila nak nikah! Senyum nampak gigi.
*COPIED 100% FROM Inchi Gabbana ^_^
No comments:
Post a Comment
Muslimah Mukminah Mujahidah